SEJARAH PENUBUHAN PSSCM CAWANGAN SEBERANG PERAI

Pergerakan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Seberang Perai bermula pada tahun 1969 apabila Almarhum Ustaz Haji Hanafi  berhasrat untuk menjadikan Bukit Mertajam sebagai cawangan pertama kepada pergerakan Silat Cekak di bawah kegiatan Perkumpulan Seni Sari Budaya Sri Kedah.

Latihan Seni Silat Cekak mula dijalankan di Kubang Semang, di mana seramai 17 penuntut telah diijazahkan dan jumlah yang sama berjaya menamatkan pelajaran. Kelas tersebut merupakan kelas yang pertama dan yang istimewa ialah YM Guru Utama, Tuan Haji Ishak Bin Itam adalah penuntut kelas tersebut.  Sebaik sahaja kelas ini ditamatkan, Y.M Tuan Haji Ishak Bin Itam telah dipilih sebagai jurulatih untuk mengajar di kelas kedua iaitu di Kampung Paya ( iaitu di rumah Pak Dun). Seterusnya latihan Seni Silat Cekak dijalankan di Kampung Tanah Liat iaitu di rumah saudara Hassan Dahaman.

Pada 26 Januari 1973, kegiatan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia di Seberang Perai telah didaftarkan pergerakannya sebagai PSSCM Cawangan Seberang Perai Tengah dan Y.M Tuan Haji Ishak Bin Itam telah dipilih sebagai Yang Dipertua Cawangan. Manakala rumah beliau telah dijadikan pusat aktiviti Silat Cekak. Rumah ini juga telah menjadi tumpuan ahli-ahli Silat Cekak dari Pulau Pinang dan Kedah. Perkembangan ini telah banyak memajukan pergerakan Seni Silat Cekak Malaysia di cawangan Seberang Perai.

Pada masa yang sama, kelas latihan pertama di bawah cawangan Seberang Perai bertempat di TUDM Butterworth ditubuhkan, diikuti dengan tertubuhnya kelas latihan kedua bertempat di rumah Tuan Haji Mohamed Bin Din (Pak Long Mat Misai) di Kepala Batas. Istimewanya kelas ini ialah ianya telah berjaya melahirkan dua orang individu yang masih aktif sehingga ke hari ini iaitu Tuan Haji Mohamed Bin Din dan Encik Abdul Rahaman Bin Ishak (Pak Su Man). Pada tahun 1981, kelas latihan di Kepala Batas telah berpindah dari rumah Pak Long Mat ke rumah Pak Su Man. Selepas tiga kelas berjaya ditamatkan, aktiviti kelas latihan ini berpindah ke Tanah Liat, Bukit Mertajam.

Apabila Y.M Tuan Haji Ishak Bin Itam diisytiharkan sebagai Guru Utama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia pada 21 September 1986, Encik Abdul Rahaman Bin Ishak telah dilantik sebagai Yang Dipertua untuk menerajui pergerakan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Seberang Perai dari tahun 1986 hingga 1993. Beliau telah berhijrah ke Melaka dan menubuhkan PSSCM Cawangan Melaka.

Tempat beliau telah diambil alih oleh Tuan Haji Abdul Halim Bin Ali mulai tahun 1994 sehingga beliau meninggal dunia akibat serangan angina ahmar pada 10 Jan 2011.Semasa beliau memegang jawatan sebagai Yang Dipertua, beliau telah menaiktaraf kemudahan dikelas latihan PSSCM Cawangan Seberang Perai serta melengkapkan cawangan dengan pejabat yang dibina dibelakang kelas latihan.

Selepas pemergian Allahyarham, tugas-tugas Yang Dipertua telah dipangku oleh saudara Shahril Bin Shahrom, Naib Yang Dipertua PSSCM CSP sehinggalah beliau dilantik sebagai Yang Dipertua PSSCM CSP pada mesyuarat Agong Cawangan Kali ke-39 pada 26 Feb 2011.

0 comments:

Post a Comment